Monday, August 17, 2009

Sains & Teknologi

UKM tubuh Institut Perubatan Molekul

31/07/2003 10:17 a.m.

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan sebuah lagi pusat kecemerlangan iaitu Institut Perubatan Molekul (UMBI) yang bakal menjadi pusat penyelidikan molekul terunggul di rantau ini.

Pengarahnya Prof. Dr. A. Rahman A Jamal berkata, UMBI terletak di kampus Fakulti Perubatan UKM (FPUKM) iaitu di dalam kompleks Hospital UKM (HUKM), berhampiran lokasi Program Lembah Bio Kebangsaan.

"Lokasi strategik ini pasti akan menjadi tarikan penyelidik terbaik tempatan dan luar negara untuk menggunakan kemudahan yang kita sediakan," katanya.

Dana pembangunan sebanyak RM64 juta telah dipohon daripada Kementerian Pendidikan bagi kos infrastruktur dan peralatan.

Selain menyediakan prasarana terbaik dan tercanggih untuk penyelidik dalam bidang perubatan molekul, UMBI juga akan menawarkan latihan pasca siswazah dan jawatan pasca doktoral.

Institut ini yang baru memulakan operasi pada awal bulan ini akan menjalankan penyelidikan asahan dalam bidang molekul dan bidang tujahan utama termasuklah penyelidikan kanser, teknologi sel stem, terapi gen, kejuruteraan tisu, farmakogenomik, epidemiologi molekul, penyakit genetik dan metabolik serta penilaian ekonomi penyelidikan bioteknologi.

"UKM sebelum ini memang telah dikenali dalam bidang penyelidikan kanser, justeru penubuhan UMBI memperkukuhkan lagi penyelidikan dalam bidang-bidang yang berkaitan," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara objektif UMBI termasuklah menjalankan penyelidikan bertaraf dunia sekali gus melatih lebih banyak penyelidik dalam bidang tersebut.

"Penubuhan UMBI adalah tepat pada masanya memandangkan bidang perubatan molekul kini menjadi tunjang dan fokus utama penyelidikan perubatan masa kini, sejajar dengan era genomik dan pasca genomik," katanya.

A. Rahman berkata, Fakulti Perubatan UKM telah lama merintis dan berkecimpung dalam bidang perubatan molekul dan mempunyai barisan penyelidik dan saintis yang berkaliber dalam bidang tersebut selain mempunyai kerjasama dengan institusi penyelidikan di dalam dan luar negara.

"FPUKM merupakan perintis dalam penyelidikan molekular seperti dalam penyakit thalassaemia, kekurangan enzim G6PD, leukemia dan pelbagai jenis kanser," katanya.

FPUKM juga menawarkan banyak ujian molekul untuk penyakit tersebut.

Fakulti itu juga mempunyai Makmal Perubatan Molekul Pusat di bawah kelolaan Unit Penyelidikan Perubatan di samping makmal-makmal satelit.

Sepanjang Rancangan Malaysia ke-7 (RMK-7), FPUKM telah menerima peruntukan sebanyak RM16 juta melalui 84 projek penyelidikan di bawah program geran Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA).

Status FPUKM sebagai pusat latihan pelajar pasca siswazah dan pakar perubatan terbesar di negara ini memastikan bekalan sumber tenaga manusia yang berterusan.

"HUKM pula sebagai salah satu hospital pengajar dan rujukan yang ulung di negara ini menyediakan lokasi dan prasarana yang terbaik untuk UMBI," katanya.

UKM telah pun mempunyai Pusat Analisa Gen dan Teknologi yang kini menjadi lokasi kepada makmal bagi Institut Genomik Kebangsaan.

Menurut A. Rahman, UMBI akan menjalinkan program berkembar dengan institusi penyelidikan, sektor swasta dan industri di dalam dan luar negara bagi memastikan produktiviti dan kualiti yang maksimum.

"Pelancaran UMBI akan memesatkan lagi penyelidikan dalam bidang perubatan molekul, sekali gus memperkukuhkan status UKM sebagai universiti penyelidikan dan membantu merealisasikan visi untuk meletakkan negara di persada dunia penyelidikan perubatan," katanya.

Selain A. Rahman yang merupakan pakar perunding kanan penyakit kanser dan darah kanak-kanak, UMBI mewujudkan lima jawatan penyelidik utama, fellow penyelidik kanan, bersekutu dan pelawat manakala kakitangan sokongan terdiri daripada pegawai sains, pegawai penyelidik, pegawai bioinformatik dan penolong pegawai sains perubatan.

No comments:

Post a Comment